CIRI-CIRI KEPIMPINAN & KEKETUAAN ALBANNA
Oleh: Jabeer Rizq
Terjemahan: Ustaz Darus Sanawi
Perwatakan sebagai seorang pemimpin dan penganjur terserlah pada diri AlBanna sejak beliau di bangku sekolah lagi.  Semasa di Sekolah Rendah Agama ArRashad beliau telah dipilih dan dilantik sebagai ketua pelajar lantaran kebijaksanaan, kecerdasan dan kema- tangan beliau yang menonjol.  Ciri-ciri ini meletakkan beliau sentiasa di hadapan rakan sebayanya.  Justru itu semasa penubuhan Persatuan Pekerti Mulia AlBanna dipilih untuk mengetuai barisan exco pertubuhan baru itu.

Dalam aktiviti luar sekolah, Hassan AlBanna turut terpilih sebagai Setiausaha Agong pertama Persatuan Mencegah Kemungkaran semasa penubuhan persatuan ini.  Ketika di Kolej Perguruan Damanhur, beliau turut serta menubuhkan Persatuan Kebajikan AlHisa-
fiyah di mana beliau dilantik sebagai Setiausaha Agongnya.

Siapa saja yang mengamati perwatakan beliau tentu sekali akan akur betapa suratan
taqdir telah mengatur pemuda yang bernama Hassan AlBanna ini untuk melalui persiapan dan latihan amali sebagai pemimpin dan peneraju organisasi-organisasi Islam sejak usia remajanya lagi.  Seolah-olah latihan kepimpinan ini bertujuan melayakkan beliau untuk
menerajui kepimpinan Jama'ah AlIkhwan AlMuslimeen yang telah disediakan Allah untuk
beliau menjanakannya dewasa nanti.

Tabiat beragama merupakan praktik amali pemuda mulia ini.  Ini semua adalah anugerah Allah kepada bapanya, Syeikh AbdRahman AlBanna, seorang 'aalim lagi ber'amal dan ikhlas.  Beliau juga diberi gelaran AlSa'aaty kerana kemahirannya memperbaiki jam.  AbdRahman menguasai 'ilmu fiqh, tauheed, nahu serta menghafaz AlQuran dengan mahir.  Beliau sering berhubung dengan para ulama'.  Hari-hari beliau dihabiskan untuk memperbaiki jam dan mengulang kaji ilmu-ilmu yang dipelajarinya.  AbdRahman juga berkhidmat sebagai khatib sebuah masjid di kampungnya.  Si-ayah ini juga memiliki sebuah perpustakaan peribadi yang mengandungi kitab-kitab rujukan induk dan kitab-kitab hadith.  Ini membolehkan beliau membuat rujukan dan mengarang beberapa kitab lain seperti Syarah Himpunan Hadith Imam AlSyafiee, Ahadith Empat Imam dan AlFath AlRabbani fi Tarteeb Musnad AlImam AlShaibani.
Ini diikuti dengan syarahnya yang berjudul Bulugh AlAman min Asrar AlFath AlRabbani.

Imam AlBanna semasa remajanya telah menghafaz 3/4 daripada alQuran ketika belajar di Sekolah Agama AlRashad.  Penyempurnaan hafalannya dilakukan semasa beliau menuntut di maktab perguruan di bandar Damanhur.  Sepanjang pengajian beliau di semua peringkat AlBanna bukanlah seorang pelajar yang bersikap dan pemikiran negatif. Justru beliau bukanlah seorang pelajar yang pasif yang tidak memperdulikan persoalan tanahairnya.  Malah dirinya sentiasa menentang dan melawan apa jua bentuk kemungkaran samada di peringkat individu mau pun negara.  Semangat memprotes dan revolusi sentiasa membara di lubuk hatinya, tidak kenal luntur atau dingin dalam usaha beliau membenteras kemungkaran.

(Bersambung)